Friday, May 15, 2015

Hari Guru T2

Rangkap 1

Semasa sambutan Hari Guru, para guru bertekad menunaikan amanah dan harapan para ibu bapa untuk melaksanakan tugas mendidik anak-anak yang bakal menerajui negara pada masa hadapan.

Rangkap 2

Sambutan Hari Guru merupakan hari para guru bermuhasabah diri tentang tanggungjawab dan keazaman mereka sama ada masih lagi kukuh atau telah hilang kerana pelbagai dugaan.

Rangkap 3

Hari guru merupakan hari para guru menerima penghormatan dan penghargaan kerana jasa-jasa mereka.

Tema

Penghargaan kepada para guru melalui sambutan Hari Guru.

Persoalan

1. Persoalan peranan guru mendidik anak bangsa.
2. Persoalan melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada kita.
3. Persoalan kesedaran tentang tugas dan tanggungjawab yang dipikul.
4. Persoalan tugas guru yang sentiasa dikenang dan dihargai.

Gaya Bahasa

1. Personifikasi
adalah hari yang menuntut kita(Rangkap 2, baris 2)

2. Metafora
apakah tiang azam (Rangkap 2, baris 4)
tunas bangsa (Rangkap 1, baris 8)

3. Anafora
ada bunga dikalung
ada puji dilafazkan
ada jasa dikenangkan (Rangkap 2, baris 2 hingga 3)

4. Asonansi
adalah hari kita. (Rangkap 1, baris 2)
Pengulangan vokal ’a’

5. Aliterasi
masih tegak kukuh (Rangkap 2, baris 5)
pengulangan konsonan ’k’.

Bentuk

1. Sajak ini terdiri daripada tiga rangkap.
2. Rima akhir bebas.
3. Jumlah perkataan sebaris antara dua hingga lima patah kata.
4. Jumlah suku kata sebaris antara empat hingga sebelas suku kata.
5. Jumlah baris serangkap adalah bebas
Contohnya : (Rangkap 1 – ada sembilan baris, Rangkap 2 – ada sepuluh baris dan Rangkap 3 – ada tujuh baris).
Nada sajak ini patriotik.

Nilai Murni

1. Nilai amanah
Para guru memikul amanah para ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka.
2. Nilai tanggungjawab
Guru-guru bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas / tanggungjawab mereka untuk membimbing anak bangsa.
3. Nilai penghargaan terhadap orang yang berjasa
Jasa guru dihargai dan dikenang melalui sambutan hari guru.
4. Nilai kesedaran
Para guru sepatutnya sedar akan tugas dan peranan mereka dalam mendidik pelajar.
1. Para guru hendaklah menunaikan amanah ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka.
2. Kita hendaklah menghargai peranan para pendidik (guru) dalam usaha mendidik dan memberi ilmu kepada anak bangsa kita – sambutan hari guru merupakan salah satu cara yang dilakukan bagi menghargai para pendidik.
3. Para guru hendaklah sedar peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka.
4. Kita hendaklah mengenang jasa orang yang banyak memberi ilmu kepada kita 
    (jasa para guru hendaklah sentiasa kita kenang)

Burung- burung pagi T2

Rangkap 1

Kemunculan golongan pengemis pada awal pagi untuk mencari rezeki telah menyedarkan penyajak.

Rangkap 2

Pada ketika itu penyajak baru sahaja bersiap-siap untuk keluar ke tempat kerja.

Rangkap 3

Penyajak memerhatikan golongan pengemis yang berusaha mencari rezeki di tengah kota. Penyajak tertanya-tanya sama ada golongan ini mampu terus mendapatkan sedikit rezeki atau lebihan makanan daripada orang lain. Bagi penyajak, kota tersebut tidak sesuai bagi golongan ini untuk terus mendapatkan rezeki.

Rangkap 4

Namun penyajak dapat merasakan bahawa golongan ini begitu yakin dengan kudrat dan kemampuan mereka walaupun serba kekurangan.

Tema

Kehidupan golongan pengemis di sebuah kota

Persoalan

1. Persoalan kegigihan mencari rezeki iaitu golongan pengemis keluar pada awal pagi untuk mencari rezeki.
2. Persoalan keprihatinan iaitu penyajak tergerak hati untuk memikirkan nasib golongan pengemis di kota tersebut.
3. Persoalan keyakinan diri, golongan pengemis yakin dengan diri mereka untuk terus mencari rezeki di kota tersebut.

Bentuk

1. Sajak ini terdiri daripada empat rangkap.
2. Rima akhir bebas.
3. Jumlah baris bebas.
Contohnya : Rangkap 1, 2 dan 4 - 4 baris, Rangkap 3 – 7 baris
4. Jumlah perkataan sebaris antara satu hingga enam patah kata.
5. Jumlah suku kata sebaris antara empat hingga lima belas suku kata.

Gaya Bahasa

1. Kata ganda
Apakah ada ulat-ulat lemah bagimu (Rangkap 3, baris 3)
2. Sinkope
Kulihat kau mematuk pasir pertama (Rangkap 3, baris 1)
3. Asonansi
Dan remaanak-anak sekola(Rangkap 3, baris 5)
Pengulangan vokal ’a’
4. Aliterasi
membuka mataku (Rangkap 1, baris 4)

Nilai Murni

1. Nilai keprihatinan
Prihatin dengan nasib golongan pengemis di kota.

2. Nilai kegigihan
Pengemis berusaha mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan mereka.

3. Nilai keyakinan
Golongan pengemis yakin dengan kemampuan mereka untuk terus hidup di kota-kota besar.

1. Kita hendaklah prihatin dengan kesusahan yang dialami oleh orang lain contohnya penyajak prihatin dengan nasib golongan pengemis.

2. Kita hendaklah gigih berusaha untuk mendapatkan rezeki contohnya golongan pengemis keluar awal-awal pagi untuk mencari rezeki.

3. Kita seharusnya yakin dengan kemampuan diri contohnya golongan pengemis yakin dengan kemampuan mereka untuk terus hidup dengan usaha mereka mencari rezeki

Syair Nasihat Penghujung Thamarat al T2

Syair
Maksud
Dengarkan tuan ayahanda berperi,
Kepada anakanda muda bestari,
Nasihat kebajika ayahanda beri,
Amalkan jangan malas dan ngeri.
Nasihat  yang diberi oleh ayah perlu dituruti dan janganlah mengamalkan sikap malas.
Ayuhai anakanda muda remaja,
Jika anakanda menjadi raja,
Hati yang betul hendak disahaja,
Serta rajinpada bekerja.
Seseorang yang dilantik menjadi pemimpin mestilah memiliki hati yang mulia dan komited terhadap tugas yang diamanahkan.
Kerja kebajikan janganlah malas,
Zahir dan batin janganlah culas,
Jernihkan hati hendaklah ikhlas,
Seperti air di dalam gelas
Kerja kebajikan yang dilakukan perlulah ikhlas dan jangan mengharapkan kepada pembalasan.
Menuntut ilmu janganlah segan,
Ilmuyang benar jangan yang bukan,
Iaitu ilmu yang kebajikan,
Di kitab ini sudah disebutkan.
Ilmu perlu rajin dituntut. Jangan pula kita menuntut ajaran sesat atau ajaran salah.
Hendaklah anakanda mengaji selalu,
Dari yang lain lebihkan dulu,
Had syarak jangan dilalu,
Tidaklah anakanda beroleh malu.
Ilmu perlu diutamakan terutamanya hukum-hukum syarak demi mengelakkan aib.
Segala perbuatan dengan berilmu,
Maka kebajikan boleh bertemu,
Jika sebarang-barang diramu,
Akhirnya anakanda jatuh tersemu.
Tindakan perlu didasarkan kepada pengetahuan supaya membawa kepada kebaikan dan kebajikan untuk mengelakkan kejatuhan.
Ilmu itu besar faedahnya,
Membezakan hak dengan batilnya,
Mengetahui rakyat benar salahnya,
Supaya dihukum dengan adilnya.
Ilmu yang baik akan menjurus kepada keadilan dan kebenaran. Hal ini akan dapat membezakan antara perkara yang benar dan yang salah.
Jika ilmu tidak diendah,
Sebab anakanda capak permudah,
Takyat datang membawa gundah,
Anakanda tercengang tunduk terngadah.
Jika ilmu tidak dituntut atau diambil mudah akan menjerumuskan seseorang atau negara ke lembah kehancuran

Tema
Nasihat kepada pemimpin agar memimpin negara dengan jujur dan ikhlas.

Persoalan

·         Kepentingan ilmu dalam menjalankan tampuk pemerintahan.
·         Keperibadian yang tinggi yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin.
·         Ajaran betul dan ajaran songsang yang telah diwartakan.
·         Hukum syarak yang perlu diikuti untuk mengelakkan aib kepada diri.

Bentuk

·         Pantun ini terdiri daripada lapan rangkap.
·         Setiap rangkap mengandungi empat baris.
·         Jumlah perkataan empat hingga enam perkataan sebaris, jumlah suku kata pula sembilan hingga sebelas suku kata dalam satu baris
·         Rima akhir tetap iaitu ’a,a,a,a’.


Gaya Bahasa
Contoh
Inversi
Menuntut ilmu janganlah segan, (R4,B1)
Simile
Seperti air di dalam gelas. (R3,B4)
Kata Ganda
Jika sebarang-barang diramu, (R6,B3)

Unsur Bunyi
Contoh
Asonansi
Jika anakanda menjadi raja, (R2,B2)
Aliterasi
Amalkan jangan malas dan ngeri.(R1,B4)

Nilai

·         Mendengar nasihat: Mendengar nasihat orang yang berpengalaman untuk kesejahteraan masa hadapan.
·         Kerajinan: Rajin menuntut ilmu dan menjalankan tugas yang diberikan.
·         Keadillan: Seorang pemimpin perlulah adil dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
·         Keikhlasan: Kerja kebajikan perlu dilakukan dengan hati yang penuh ikhlas.

Pengajaran

·         Kita mestilah mendengar nasihat ayah, agar kehidupan kita diberkati.
·         Kita perlulah menyiasat sesuatu perkara sebelum menjatuhkan hukuman.
·         Kita hendaklah sentiasa berbuat baik dan kebajikan, serta ikhlas dalam sebarang tindakan.
·         Kita haruslah menuntut ilmu agar dapat membezakan antara yang buruk dan yang baik.